KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan parti itu kekal setia kepada mandat yang diterima di bawah Barisan Nasional (BN) dan tidak akan sesekali membuat keputusan yang mengkhianati kepercayaan pengundi.
Menurutnya, meskipun terdapat kebimbangan dalam kalangan pemerhati dan ahli parti mengenai masa depan MCA dalam BN, keutamaan parti tetap untuk menunaikan amanah rakyat yang memilih wakil MCA di bawah panji BN.
“Ahli Parlimen dan ADUN kita menang atas tiket BN. Kita bertanggungjawab kepada BN dan rakyat. Kita tidak boleh dilihat memungkiri janji,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA hari ini.
Mengulas cadangan supaya MCA menyertai Perikatan Nasional (PN), Wee menegaskan ia sukar dipertimbangkan kerana sentimen masyarakat Cina terhadap PAS kekal negatif, lebih-lebih lagi selepas hubungan parti itu dengan DAP terputus sejak lebih sedekad lalu.
Beliau berkata beberapa kenyataan kontroversi pemimpin PAS turut menyinggung komuniti bukan Islam, menjadikan halangan itu kekal selagi parti berkenaan tidak melakukan pembaharuan atau menampilkan imej lebih moderat.
Dalam ucapannya, Wee turut menyindir sikap parti tertentu yang sebelum ini lantang menyerang UMNO tetapi kini bekerjasama rapat atas kepentingan politik.
“Dulu mereka mahu hantar pemimpin UMNO ke penjara, hari ini mereka berpimpin tangan. Jika mereka boleh berpakat sekarang, apa yang menghalang mereka berpakat dengan PAS semula nanti? Politik ini serba mungkin,” katanya disambut tepukan perwakilan.
Mengulas cadangan pembentukan kuasa ketiga, beliau berkata MCA terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti yang mengangkat prinsip pelbagai kaum, sederhana dan demokratik.
Namun pendirian parti terhadap DAP, katanya, adalah muktamad.
“Pendirian kita jelas, tiada DAP. Jika UMNO terus bergerak ke arah kerjasama luar BN, khususnya dengan DAP, sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri. Kita akan menilai semula kedudukan strategik parti,” tegasnya.
Wee menambah bahawa setiap keputusan besar menyentuh asas perjuangan, ideologi serta masa depan parti akan ditentukan Jawatankuasa Pusat pada waktu yang sesuai.
“Keutamaan kita kini ialah mengukuhkan kekuatan dalaman dan meraih kembali keyakinan rakyat. Jika MCA kuat, kita boleh berdiri di mana sahaja. Jika lemah, ke mana pun kita pergi, kita tetap akan berdepan kesukaran,” katanya.










