‘MC’ Ismail Sabri Berakhir Esok, Beri Keterangan SPRM Pada Khamis

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Bera itu akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi.

Terdahulu cuti sakit Ismail Sabri akan berakhir esok selepas dua kali sesi merakam keterangan beliau ditangguhkan.

“Beliau akan hadir untuk dirakam percakapan berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan. Selain itu, saksi-saksi tambahan juga akan dipanggil secara berperingkat bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Majlis Berbuka Puasa, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, SPRM diwakili Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, manakala DBKK diwakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Sebelum ini sumber SPRM mendedahkan bahawa setakat ini, sebanyak 36 saksi telah memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tambahan 23 saksi baharu juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat.

Siasatan terhadap Ismail Sabri mendapat perhatian selepas beliau dilaporkan rebah di rumahnya pada 21 Februari lalu dan menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.

Pada 3 Mac, Azam mengesahkan bahawa Ismail Sabri merupakan suspek dalam siasatan ini susulan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta di sebuah safe house dalam serbuan SPRM.

Selain itu, SPRM turut menyita 13 akaun dengan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan.

Azam menegaskan bahawa siasatan dilakukan secara profesional dan menolak dakwaan bahawa SPRM telah meletakkan wang RM170 juta di lokasi berkenaan sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

BBerkaitan

Latest articles