KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mendakwa kegiatan peribadi beliau sentiasa dipantau secara rapi melalui satu sistem kawalan yang kini dikenali sebagai Travel Control Office/Order (TCO).
Beliau mendakwa, walaupun tanpa sebarang bukti kesalahan, segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi beliau dari perbualan bersama pemimpin politik hingga pertemuan harian dilaporkan kepada pihak operator utama dengan alasan “keselamatan negara”.
Ahmad Samsuri mendakwa bahawa sejak suku ketiga tahun 2024, setiap kali beliau keluar-masuk sempadan, walaupun untuk perjalanan domestik ke Sabah dan Sarawak, pengawasan ketat telah dikenakan terhadapnya.
“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui dan apa yang saya perbualkan – semuanya menjadi perhatian oleh cawangan khusus ini,” katanya.
Situasi ini, menurut Ahmad Samsuri seolah-olah menjadikan dirinya sebagai seorang penjenayah berbahaya.
Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa sistem TCO ini bukan sahaja mengakibatkan telefon beliau dipintas tetapi juga pengawasan ke atas pergerakan fizikal beliau melalui pengecaman kenderaan, cara komunikasi, sehinggalah pemantauan kehadiran orang ramai di sekitar aktiviti harian.
“Kita tidak perlu menjadi pakar counter-surveillance untuk mengenal pasti kehadiran elemen pengawasan ini. Mereka boleh dikesan melalui kenderaan statik dan aktiviti spotter yang sentiasa hadir di sekeliling,” ujarnya.
Beliau turut mengkritik penggunaan label TCO yang didakwa sering disamakan dengan satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang berpaut kepada pertahanan “kepentingan keselamatan negara”.
“Alasan keselamatan atau kestabilan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengawal dan menekan suara pembangkang atau mana-mana pihak yang tidak sehaluan. Jika dibiarkan, instrumen ini berkemungkinan akan disasarkan kepada orang awam, NGO, dan badan bebas,” tegasnya.
Selain dirinya, beliau mendedahkan bahawa satu lagi tokoh pembangkang utama turut berdepan dengan label yang sama.
Menurut beliau, isu ini merupakan satu trend meresahkan yang mengikis kebebasan peribadi dan mengubah struktur negara yang sepatutnya bebas dan adil.
Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa tindakan pengawasan yang berlebihan ini bukan sahaja satu ancaman kepada hak individu, malah ia membentuk satu budaya paranoia yang mengganggu iklim politik dan kestabilan negara.
“Keadaan inilah yang perlu ditentang dengan segenap usaha demi memastikan negara kita kekal aman dan adil kepada semua pihak,” ujar beliau.