MB Pahang sokong permohonan Najib isu tahanan rumah

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang memfailkan afidavit, menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 supaya bekas perdana menteri itu, menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengikrarkan perkara itu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada Selasa minggu lalu.

Najib, 71, memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April, menerusi Tetuan Shafee & Co.

Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Wan Rosdy ialah pemimpin Umno kedua yang diketahui memfailkan afidavit terhadap kerajaan persekutuan berhubung dakwaan perintah tahanan rumah itu.

Sebelum ini, Zahid memfailkan afidavitnya pada 9 April lalu bagi menyokong permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Afidavit difailkan Wan Rosdy ‘terlalu lewat’

Bagaimanapun, menurut surat-menyurat oleh Jabatan Peguam Negara kepada mahkamah sivil bertarikh 23 Mei, jabatan itu membantah permohonan Najib untuk memasukkan afidavit Wan Rosdy ke dalam prosiding.

AGC berhujah bahawa ini adalah kerana permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memasukkan afidavit tambahan oleh Wan Rosdy dibuat sangat lewat dalam prosiding semakan kehakiman.

Peguam responden berhujah bahawa Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak membenarkan pemfailan lewat sedemikian, terutamanya apabila mahkamah sivil telah mendengar hujahan lisan pihak-pihak terlibatpada 17 April, dan telah menetapkan 5 Jun untuk memutuskan sama ada Najib boleh mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman itu.

Sekiranya mahkamah sivil memberikan kebenaran, mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh untuk mendengar hujahan lisan pihak terlibat mengenai merit tindakan undang-undang.

Najib memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan titah tambahan yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengurangan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas sabitan dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Menurut afidavit Najib bagi menyokong semakan kehakiman tersebut, bekas ahli parlimen Pekan itu mendakwa titah diraja membenarkan pengurangan hukuman itu disertakan dengan perintah tambahan yang mengandungi perintah tahanan rumah.

BBerkaitan

Latest articles