Mayat Zayn Rayyan Dibunuh Di Lokasi Lain Sebelum Dicampak Ke Sungai

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum dicampak berhampiran aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Damansara Damai malam semalam.

Malah, tempat mayat Zayn Rayyan ditemui itu telah dilalui oleh polis semasa melakukan pencarian, tetapi tidak menemui mangsa.

“Kita temui kemudian, hampir hari ketiga pencarian, hari kedua lewat malam. Kita rumuskan bahawa mangsa tidak mati ditempat kejadian, mungkin mati ditempat lain kemudian diletakkan di situ,” katanya pada sidang media malam tadi.

Mohd Shuhaily juga mendedahkan, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa telah meninggal dunia 24 jam sebelum mayat ditemui.

“Apa yang kita boleh pastikan mangsa bukan mati disebabkan lemas,” ujarnya.

Beliau yang mewakili ibu bapa mangsa merayu kepada masyarakat setempat supaya menyalurkan apa sahaja maklumat yang boleh merungkai jenayah itu.

Terdahulu hari ini, polis memaklumkan pihaknya telah merakam semula keterangan ibu bapa Zayn Rayyan selepas bedah siasat hari ini.

Hasil bedah siasat menunjukkan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu mati akibat dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam semalam oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang sejak tengah hari kelmarin dan kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, polis akan mengunjungi semula lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui bagi mengumpul bukti dan petunjuk baharu.

BBerkaitan

Latest articles