Mayat Wanita Tercampak Dari Van Bukan Pamela Ling – Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahawa mayat seorang wanita yang ditemui selepas dipercayai tercampak dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) bukan milik Pamela Ling Yueh, 42, wanita yang dilaporkan diculik baru-baru ini semasa dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa kejadian ini adalah wanita lain berusia 44 tahun yang beralamat di Menglembu, Ipoh, Perak.

“Dalam kejadian jam 2.30 petang Selasa, saksi memaklumkan melihat seorang wanita tercampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuhraya KESAS berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya. Van tersebut tidak berhenti dan terus meninggalkan lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Aidil, maklumat awal diperoleh selepas seorang lelaki menghubungi talian kecemasan MERS 999 memaklumkan tentang insiden tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan jenazah kini dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Polis kini sedang menyiasat motif di sebalik kejadian dan sedang berusaha mengesan kenderaan terlibat, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan.

BBerkaitan

Latest articles