KUALA LUMPUR: Misteri bau busuk dari sebuah unit kondominium di Bandar Baru Sri Petaling, semalam akhirnya terbongkar apabila seorang wanita berusia 27 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik air kediaman tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada tuan rumah sekitar jam 11.35 pagi selepas gagal menghubungi penyewanya.
Menurutnya, pihak pengurusan bangunan Kondominium Endah Puri turut mengesan bau mencurigakan yang datang dari unit terbabit sebelum memaklumkan kepada pemilik rumah.
“Pasukan peronda polis bersama tuan rumah dan seorang tukang kunci dikejarkan ke lokasi. Sebaik pintu berjaya dibuka secara paksa, anggota polis menemui mayat seorang wanita tergantung di bilik air,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, keadaan mayat sudah mereput dengan bau yang kuat, manakala pemeriksaan awal mendapati rumah berkenaan berkunci dari dalam.
Semua barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbit dan beg tangan masih berada di tempat asal.
“Hasil siasatan mendapati mangsa tinggal seorang diri sejak awal tahun ini dan menjalankan perniagaan pakaian secara dalam talian. Tuan rumah memaklumkan kali terakhir bercakap dengan mangsa pada 4 September lalu berhubung tunggakan sewa,” jelasnya.
Hoo berkata, pegawai forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama seorang pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) hadir ke lokasi dan mengesahkan kematian kira-kira jam 1.45 petang.
Polis kini sedang mengatur proses mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan bedah siasat dijadual dilakukan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.