Mayat Wanita Ditemui Bawah Jambatan Dikaitkan Dengan Kes Pelajar Kolej Hilang

SUBANG JAYA: Mayat seorang wanita yang ditemui tertiarap di atas batu dalam Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pada Isnin lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan seorang pelajar kolej swasta yang dilaporkan hilang minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan awal mengenal pasti mangsa berusia 23 tahun itu berdasarkan laporan orang hilang yang dibuat kakaknya pada 26 Julai lalu.

“Menurut pengadu, adiknya meminta dijemput di stesen LRT Putra Heights pada jam 12 tengah hari, 25 Julai. Namun selepas itu, dia gagal dihubungi sehingga keesokan harinya sebelum laporan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Azlan, hasil bedah siasat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan penuh hasil analisis makmal untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Kami menemui seunit anak kunci di dalam poket seluar mangsa dan pemeriksaan lanjut membawa polis ke sebuah rumah di Jalan Klang Lama, dipercayai tempat tinggal mangsa,” jelasnya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi turut menunjukkan kelibat wanita itu sebelum kehilangannya dilaporkan.

Pihak keluarga mengenal pasti pakaian mangsa yang sepadan dengan milik pelajar terbabit, namun identiti sebenar hanya akan disahkan selepas keputusan padanan cap jari diperoleh.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa sebarang dokumen pengenalan diri kira-kira jam 11.58 pagi, 28 Julai lalu oleh orang awam di bawah jambatan Jalan Jurutera, Puchong.

Keadaan mayat yang mulai kembung memberi petunjuk bahawa wanita itu dipercayai telah berada di dalam air lebih daripada 24 jam sebelum ditemui.

BBerkaitan

Latest articles