BAYAN LEPAS: Misteri kematian seorang wanita berpakaian karakter anime yang ditemui tidak bernyawa di kawasan parkir kondominium, dua hari lalu akhirnya terjawab selepas hasil bedah siasat dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pemeriksaan forensik yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat impak terjatuh dari tempat tinggi.
“Hasil bedah siasat turut mengesahkan mangsa tidak hamil seperti dakwaan awal. Buat masa ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, wanita berusia 34 tahun itu ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 28 kondominium berkenaan.
Difahamkan, mangsa mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan teman lelaki, sementara ibunya sebelum ini mendakwa mangsa hamil lima bulan.
Polis bagaimanapun menegaskan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.