PORT DICKSON: Hutan berhampiran sebuah hotel di Batu 5, Jalan Pantai, gempar semalam selepas seorang lelaki ditemui mati tergantung pada sebatang pokok oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.08 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa, lelaki tempatan berusia 49 tahun, berada dalam keadaan tergantung dan lengkap berpakaian. Polis turut menemui beberapa dokumen pengenalan diri serta rekod rawatan perubatannya,” katanya.
Beliau memaklumkan, siasatan awal tidak menemukan sebarang kecederaan mencurigakan atau tanda menunjukkan berlaku pergelutan, sekali gus menolak unsur jenayah.
Menurut Maslan, mayat berkenaan dipercayai sudah berada di lokasi antara tiga hingga empat hari sebelum ditemui orang awam.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.










