TAPAH: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang di sini kelmarin sebagai kes bunuh, selepas hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat dipukul dengan objek tumpul.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil pemeriksaan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menunjukkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan serius pada tubuh.
“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat multiple blunt trauma, iaitu kesan pukulan dengan senjata tumpul.
“Terdapat lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Johari, mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek hitam di bawah tebing setinggi kira-kira 15 meter.
Susulan itu, polis kini giat mengesan suspek yang dipercayai terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Cap jari mangsa juga telah diambil untuk membantu proses pengecaman identiti,” tambahnya.
Dalam pada itu, Johari menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.