JOHOR BAHRU: Mayat seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berusia antara lima hingga tujuh tahun ditemukan terapung di Sungai Skudai, berhampiran Sutera Mall, Jalan Sutera Danga, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, penemuan mayat itu dilaporkan oleh seorang warga emas berusia 70 tahun.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu belum dikenal pasti identitinya. Dia memakai gelang kaki di kaki kiri dengan logo ‘love’ dan tulisan ‘IV’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Balveer, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian dan polis kini sedang mengesan waris atau individu yang mengenali mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyedari kehilangan kanak-kanak seusia diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Kanan Bomba Shahril Suboh memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.
“Sebanyak tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi sejauh 12 kilometer dan tiba pada jam 10.38 pagi.
“Mayat kemudian dibawa naik dengan bantuan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.44 pagi.