KUALA LUMPUR: Selepas sehari dilaporkan hilang, akhirnya kanak-kanak autisme yang berusia 6 tahun ditemui di sebatang sungai, berhampiran lokasi hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai, malam tadi.
Mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui penduduk apartmen berkenaan kira-kira jam 10 malam tadi pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis dari Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta 60 penduduk Apartment Idaman yang melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut, bermula jam 9 malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid yang terlibat dalam misi pencarian itu mengesahkan penemuan kanak-kanak tersebut.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini kerana baru menemui mayat mangsa dan sedang lakukan siasatan lanjut di kawasan mayat ditemui ini.
“Fakta lanjut mengenai penemuan kanak-kanak itu akan dimaklumkan kelak nanti,” katanya.
Berikutan itu, kawasan belukar di mana mayat kanak-kanak itu ditemui kini ditutup untuk siasatan lanjut.