Seorang penunggang motorsikal maut selepas digilis dan diseret oleh sebuah treler dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Sungai Buloh, berdekatan Kem Tentera Sungai Buloh, tengah hari semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat memaklumkan mangsa, Mohamad Hafiz, 28, berasal dari Bercham Megah, Perak dikatakan diseret sejauh kira-kira 14 meter menyebabkan badannya hampir terputus dua daripada bahagian pinggang.
Kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss melanggar belakang sebuah Proton Waja yang cuba mengubah laluan ke kiri jalan.
“Mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar belakang kiri Proton Waja terbabit dan jatuh di sebelah kiri laluan.
“Pada masa sama, sebuah treler yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak tergilis mangsa dan menyeretnya sejauh kira-kira 14 meter,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Pemandu kereta Proton Waja berkenaan yang juga seorang lelaki warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu warga Bangladesh tidak mempunyai lesen memandu sah dan kereta yang dipandu adalah milik majikannya.
Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Fahmi di talian 014-3667353 untuk membantu siasatan.