Mat Sabu Jawab Kritikan Isu Tanam Sayur Sendiri

KUALA LUMPUR: Cadangan menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program kebun komuniti bukan tanda kerajaan ketandusan idea dalam menangani isu keterjaminan makanan, sebaliknya ia sebahagian strategi berlapis untuk memastikan bekalan makanan negara kekal stabil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan pendekatan seperti program Kebuniti dan Kebun Dapur Isirumah dilaksanakan kerana kementerian memahami bahawa keselamatan makanan tidak boleh bergantung kepada satu kaedah sahaja.

Menurut beliau, langkah membudayakan aktiviti bercucuk tanam dalam kalangan masyarakat merupakan sebahagian daripada usaha membina daya tahan negara sekiranya berlaku gangguan bekalan makanan global.

Mohamad berkata, beberapa negara maju juga mengambil pendekatan serupa meskipun mempunyai dasar makanan yang kukuh.

Beliau memberi contoh Singapura yang hanya mempunyai kurang daripada satu peratus tanah untuk pertanian, namun tetap melabur besar dalam sektor pertanian bandar menerusi sasaran “30 by 30” bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

Selain itu, Jepun turut menggalakkan komuniti setempat menanam makanan sendiri walaupun negara itu memiliki sistem makanan yang stabil dan moden.

“Adakah negara-negara ini tidak memahami dasar makanan? Atau mereka sebenarnya lebih faham bahawa budaya berdikari adalah sebahagian daripada strategi nasional?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, ada pihak yang memandang usaha kecil seperti kebun komuniti sebagai tidak penting, namun bagi beliau sikap memperlekehkan inisiatif tersebut adalah lebih tidak signifikan.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kritikan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan cadangan agar kakitangan kementerian menanam sayur sendiri tidak menjawab isu sebenar berkaitan keterjaminan makanan negara.

Wan Saiful sebelum ini menyatakan walaupun usaha menggalakkan rakyat bercucuk tanam adalah langkah baik, ia tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian utama kepada ketidaktentuan bekalan makanan global.

Bagaimanapun, Mohamad memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus memantau perkembangan geopolitik yang boleh menjejaskan bekalan makanan, selain mengambil langkah menstabilkan bekalan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh pengeluaran domestik.

“Dan ya, kita akan terus galakkan rakyat menanam. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, berdikari bukan sekadar slogan, tetapi strategi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles