Masukkan Jari Ke Dubur Anak Tiri, Pengawal Keselamatan Kena Dakwa

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tiri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini, berdepan dengan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri lelakinya berusia enam tahun, April lalu.

Tertuduh yang juga pengawal keselamatan yang berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dengan cara memasukkan jari ke dalam lubang dubur mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Taman Terendak dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8 malam, 6 April 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan membantah sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mempunyai hubungan anak tiri dengan mangsa namun mencadangkan RM30,000 sekiranya mahkamah membenarkan serta syarat tambahan.

Peguam Umar Zulkarnain merayu mahkamah membenarkan jaminan pada kadar yang rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan akan tinggal dengan bapanya di Krubong sekiranya dibenarkan jaminan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan berada ditempat tinggal mangsa sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes akan disebut semula 15 Ogos ini untuk serahan dokumen dan laporan perubatan.

BBerkaitan

Latest articles