KUALA LUMPUR: Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disaran mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah yang kini berdepan musibah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif itu sebagai tanda solidariti dan doa agar negeri berkenaan segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda.
“Saya telah mengarahkan masjid-masjid dan surau-surau di bawah pentadbiran Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat di negeri Sabah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Na’im turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua yang terkesan serta memaklumkan bahawa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun padang membantu mangsa bencana bersama agensi pusat dan negeri.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Sujaimee berkata, tiga masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat hajat khas selepas solat Maghrib malam ini.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menadah tangan berdoa agar keadaan di Sabah kembali pulih seperti sediakala, segala urusan mangsa dipermudahkan serta rakyat sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.