KUALA LUMPUR: Memandangkan tahap kesihatan yang masih belum baik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpaksa menangguhkan sesi merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya dijadualkan esok kepada Jumaat ini.
Menurut sumber SPRM, Ismail Sabri dijangka memberi keterangan pada pukul 10 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Penangguhan ini dibuat kerana beliau masih dalam cuti sakit.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bera itu dijadualkan hadir bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan dirinya.
Semalam, beliau dilaporkan sebagai suspek utama dalam siasatan kes tersebut selepas pihak berkuasa menemukan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam sebuah safehouse dalam satu serbuan.
Siasatan SPRM ketika ini memberi tumpuan kepada sumber dana dan perbelanjaan berkaitan promosi serta publisiti semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Setakat ini, SPRM telah merekodkan keterangan daripada 31 individu serta membekukan 13 akaun bank yang mempunyai jumlah keseluruhan kira-kira RM2 juta.
Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.
Turut dirampas adalah 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.