Masalah Tak Akan Selesai Dengan Hanya Pengeluaran KWSP

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz percaya tuntutan banyak pihak terhadap pengeluaran simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu modal politik mudah.

Tegasnya, tuntutan sedemikian bagaimanapun tidak dibuat dengan sikap bertanggungjawab, sebaliknya dilakukan secara melulu tanpa analisis dan perkiraan rapi.

Dalam satu hantaran di Facebook, Tengku Zafrul menegaskan bahawa pengeluaran simpanan KWSP bukanlah satu-satunya penyelesaian bagi setiap cabaran dihadapi semua pihak, termasuk yang terkesan dengan COVID-19 dan bencana alam seperti banjir.

KWSP melalui tiga program pengeluaran khasnya, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang dilaksanakan sebelum ini hanya langkah jangka pendek bersifat sementara akibat pandemik.

“Kita tidak boleh membenarkan pengeluaran KWSP untuk semua bencana. Hampir setiap tahun negara dilanda banjir. Mungkin akan ada bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya.

“Kalau untuk setiap bencana ini kita nak keluarkan simpanan KWSP, sampai bila-bila pun simpanan hari tua ini tidak tercapai matlamatnya. Hakikatnya hampir 50% atau kira-kira enam juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata, ketika ini, ada pencarum KWSP yang sudah melakukan pengeluaran sehingga RM71,000 melalui tiga pengeluaran khas itu, yang keseluruhannya membabitkan RM101 bilion.

Jika kerajaan terus membenarkan pengeluaran khas demikian, semestinya akan memberi kesan kepada simpanan hari tua pencarum terbabit.

Apatah lagi 74% daripada golongan Bumiputera tidak akan mendapat faedah jika kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan i-Citra seperti didesak sesetengah pihak membabitkan simpanan RM10,000.

“Lebih membimbangkan lagi, 79% daripada golongan yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 juga adalah Bumiputera.

“Percayalah dalam menggubal dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan bukan saja jangka pendek, tetapi juga kesejahteraan jangka panjang, iaitu untuk anak cucu kita kelak.”

Mengulas berkenaan bantuan banjir, Tengku Zafrul berkata telah anyak bantuan sudah dihulurkan kerajaan.

Bagi membantu aliran tunai B40 dan M40, katanya, kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM10 bilion melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang dimanfaatkan kira-kira 11 juta penerima.

Selain itu, kerajaan turut menyalurkan bantuan wang ihsan yang dinaikkan kepada RM1,000 kepada mangsa banjir baru-baru ini serta pelbagai bantuan lain seperti bantuan membeli perkakasan elektrik, membaiki kenderaan, diskaun sehingga 50% untuk alat ganti kereta, pembiayaan kadar faedah 0%, moratorium dan beberapa bantuan lain.

BBerkaitan

Latest articles