Masalah Sosial Sudah Kelihatan, NUBE Gesa PM Tak Tunduk Desakan Pengeluaran KWSP

KUALA LUMPUR: Menggunakan dana persaraan setiap kali berlakunya bencana alam bukanlah satu tindakan yang bijak, demikian menurut Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

NUBE turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertindak tegas dengan desakan ramai pihak, termasuk di dalam UMNO sendiri untuk membenarkan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Agung, J Solomon menyuarakan kebimbangan NUBE bahawa tindakan tunduk kepada tekanan akan menyebabkan masalah sosial yang teruk, dan tanda-tanda sedemikian sudah kelihatan.

“Tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja-pekerja dalam kesusahan dalam jangka panjang.

“NUBE mengiktiraf beberapa dasar baik yang UMNO perkenalkan semasa mereka menjadi rakan gabungan pemerintah utama, tetapi mendesak agar KWSP membenarkan pengeluaran secara berterusan, walaupun untuk mangsa banjir, adalah tidak berfaedah jika parti itu ingin berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas selepas persembahan buruk dalam pilihan raya umum lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

NUBE mengambil pendirian bahawa UMNO mampu meraih semula kredibilitinya sebagai parti politik dan kerajaan dengan menggunakan sumbernya untuk memberi bantuan tulen kepada mangsa banjir dan merapatkan jurang ketidaksamaan yang luas yang wujud sepanjang 60 tahun pentadbiran mereka.

“NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak.

“Pandangan yang diterima umum bahawa kerajaan, di peringkat persekutuan dan negeri, bertanggungjawab untuk memastikan ketersediaan keperluan asas yang mencukupi dan pengagihannya tepat pada masanya, untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir,” jelasnya.

Malah bantuan dan insentif yang diumumkan kerajaan dilihat cukup membantu mangsa banjir, selain boleh ditambah dari masa ke semasa jika tidak mencukupi.

“Tetapi untuk taksub menggunakan dana KWSP semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kerajaan yang memerintah.

“Ahli-ahli politik ini perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot dengan ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak COVID-19.

“KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra,” ujarnya.

Desakan supaya pengeluaran seterusnya melalui KWSP dibinbangi akan mendedahkan pencarum kepada kesulitan apabila usia persaraan kelak, apatah lagi sebahagian besarnya daripada kumpulan B40.

“Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka.

“Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti yang UMNO wakili.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain, disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad, dan khususnya, kekurangan gaji sara hidup yang baik,” jelasnya.

“Oleh itu, NUBE berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup yang baik bagi pekerja supaya mereka akan mempunyai simpanan yang mencukupi semasa kecemasan dan simpanan persaraan yang sesuai demi perlindungan sosial.”

BBerkaitan

Latest articles