TANGKAK: “Dia sudah ‘out’, dia buat pecah undi sahaja, (saya minta pengundi) jangan bagi pecah undi.”
Itu komen Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan partinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menurutnya sekadar untuk memecahkan undi.
Bahkan Anwar mendakwa bekas Perdana Menteri dua kali itu juga sudah tidak relevan dalam politik tanah air.
Sehubungan itu Anwar menggesa rakyat untuk berhenti bercerita mengenai Dr Mahathir.
“(Pemimpin) yang lain itu, Dr Mahathir jangan kacaulah, sudah-sudahlah, jangan kacau dia lagi, jangan cerita lagi.
“Saya mahu orang Melayu Ledang, Orang Cina Ledang, orang India ledang, kalau ada Orang Asli semua, pakat kita beri undi untuk menangkan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika berucap pada ceramah ketika tinjauan mesra di Pusat Jaja Taman Tangkak Jaya, hari ini.
Yang turut hadir, calon PH yang juga penyandang Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Untuk rekod, parti yang dipimpin Dr Mahathir iaitu Pejuang akan bertanding di 161 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Anwar menolak dakwaan bahawa akan ada pakatan dan rundingan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas PRU15 ini.
“Tak payah kacau dia (Mahathir) lagi, saya tak mahu kacau dia tapi dia kacau kita, dia kata tak boleh sokong PH, sebab PH mahu pakat (dengan Ahmad Zahid), Anwar mahu pakat sama Ahmad Zahid, apa cakap macam ini, dia susah hati, takut kita menang.
“Saya sendiri akan pergi ke Bagan Datuk, saya mahu serang tempat Ahmad Zahid, untuk kita menang di sana, dia tak tahu apa perancangan kita, perancangan kita ini adalah untuk dapat sekurang-kurangnya 112 (kerusi) untuk PH jadi kerajaan,
“Apa runding-runding, kita mahu menang sebab rakyat,” katanya