Marzuki Dedah “Penyakit Kronik” Panda Bersatu, Sindir Perebutan Kuasa Dalaman

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini berdepan “penyakit kronik” yang berisiko menjejaskan masa depan parti itu jika tidak segera ditangani.

Marzuki berkata, walaupun BERSATU memiliki lebih 90 wakil rakyat, parti itu masih gagal menunjukkan kesepakatan apabila wujud perbalahan berhubung keputusan pimpinan tertinggi.

“BERSATU sekarang ada lebih 90 wakil rakyat, tetapi berbalah dalam mempertahankan keputusan Pimpinan Atasan Tertinggi (PAT). Ini tanda penyakit kronik yang sedang melanda parti.

“Kalau tidak dicari penawar, masalah ini boleh merebak. Mungkin ia bermula dengan seorang dua, tetapi akhirnya boleh melarat kepada keseluruhan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika BERSATU dikatakan bergelut dengan isu ketidaksefahaman dalaman berhubung hala tuju dan kepimpinan parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam hantaran sama, Marzuki turut mengimbas pengalaman sewaktu BERSATU mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh (PM7) sebelum PRU14.

Katanya, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada ketika itu menyaksikan ada pihak berpendapat Muhyiddin lebih layak dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Namun, demi menjaga kesepakatan, Muhyiddin sendiri tampil mencadangkan nama Dr Mahathir.

“Mereka tidak berani nyatakan sokongan kepada Tun M kerana bimbang TSMY terasa hati, dan sebaliknya juga. Akhirnya, TSMY sendiri yang menyuarakan sokongan kepada Tun M.

“Keputusan MPT BERSATU itu kemudian dipertahankan oleh TSMY di Majlis Presiden Pakatan Harapan, meskipun DAP ketika itu menegaskan dasar mereka tetap mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Menurut Marzuki, selepas rundingan bersama sekutu PH, akhirnya Dr Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipersetujui sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Apabila PH memenangi PRU14, Tun M kembali menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua. Waktu itu, tiada seorang pun dalam BERSATU yang mempersoalkan keputusan MPT mencalonkan beliau,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles