KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan bahawa insiden buli fizikal melibatkan enam pelajar yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Kuala Terengganu baru-baru ini, harus dijadikan pengajaran kepada semua pelajar di MRSM lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata enam pelajar berkenaan telah digantung dan disingkirkan daripada MRSM, selepas siasatan mendapati mereka terbabit dalam kejadian buli terhadap junior mereka di MRSM berkenaan.
“Saya berulang kali menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi dengan segala perlakuan buli. Jadi apa yang berlaku di MRSM Besut itu suatu yang amat mendukacitakan bagi saya dan sudah tentu segala proses dan prosedur telah dilaksanakan di peringkat maktab.
“Kita ada jawatankuasa disiplin dan memang perlakuan itu benar, sebab itu saya sebutkan apa jua alasan tidak berpuas hati dengan junior yang melakukan kesalahan, apa juga bentuk perlakuan fizikal buli sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan saya tegas dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang, hari ini.
Beliau berkata tindakan tegas termasuk penggantungan telah diambil serta-merta kerana prinsip MARA amat jelas, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli fizikal.
“Saya telah pun mengarahkan jawatankuasa disiplin Bahagian Pendidikan Menengah, bahawa kita tidak boleh kompromi, sebab bila ia dah siasat bagi opsyen kepada jawatankuasa sama ada gantung atau sebaliknya, tapi saya kata dalam hal ini bahawa prinsip kita tegas,” katanya.
Beliau berkata kes itu perlu dijadikan iktibar, agar seluruh pelajar di MRSM memahami bahawa sebarang tindakan membuli rakan tidak akan dibiarkan begitu sahaja.
“Saya boleh katakan secara umumnya Alhamdulillah penurunan kes-kes ini memang amat ketara sekali, kita jarang dengar kes buli ini. Tapi bila ia timbul kembali (kes buli MRSM), maka perkara ini ia amat mendukacitakan saya.
“Pada peringkat MARA kita gantung enam pelajar MRSM didapati terlibat. Hari itu kita gantung sementara dan apabila kita melakukan proses siasatan mendapati perlakuan itu memang ada,” katanya.
Asyraf Wajdi menegaskan bahawa apa juga alasan untuk menghalalkan perbuatan berkenaan tidak akan diterima.
Beliau berkata siasatan peringkat MRSM telah selesai dan beliau tidak akan menerima sebarang rayuan kerana baginya perlakuan buli yang melibatkan fizikal, sesuatu yang serius.
Asyraf Wajdi berkata pelbagai program pencegahan kes buli di MRSM telah bermula termasuk program pencerahan, motivasi dan memanggil kaunselor MRSM yang ada.
“Memang program pencerahan dan pendidikan ini telah dilaksanakan, tetapi saya amat dukacita kerana ia masih berlaku dan objektif saya adalah untuk mencapai sifar buli di MRSM,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah MRSM di Besut, mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama Putera pada malam Selasa, sehingga mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Azamuddin Ahmad @ Abu, dilapor berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.48 petang Rabu. — BERNAMA