MARA Tak Akan Sorok Jika Ada Isu Salah Laku Kakitangan

BANDAR PENAWAR: Ketika isu integriti penjawat awam kembali menjadi perhatian, Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil memberi jaminan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangannya sekiranya terlibat dalam salah laku, khususnya kes berkaitan pecah amanah dan integriti.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, MARA tidak pernah menyembunyikan sebarang kes melibatkan pelanggaran disiplin, sebaliknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sekiranya wujud elemen jenayah.

“Kita tidak pernah menutup atau menyembunyikan perkara ini di bawah permaidani. Isu integriti, disiplin dan pematuhan kepada tadbir urus yang baik adalah prinsip utama MARA,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Logistic Learning Provider (LLP) di Kolej Profesional MARA Bandar Penawar, hari ini.

Menurut beliau, setiap salah laku akan melalui prosedur biasa, namun sekiranya membabitkan pecah amanah dan penyalahgunaan wang, laporan akan dibuat terus kepada polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berkata, beliau sentiasa menekankan budaya kerja warga MARA yang berteraskan prinsip tiga IP iaitu integriti, ihsan dan inovasi, digabungkan dengan tahap profesionalisme yang tinggi dalam setiap tugasan.

Katanya, integriti merupakan asas utama bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dapat direalisasikan dengan berkesan, manakala nilai ihsan penting dalam berurusan dengan masyarakat pelbagai latar belakang serta inovasi perlu diperkasakan seiring tuntutan semasa.

“Walaupun kita sedar manusia tidak sempurna, itu bukan alasan untuk merelakan atau menghalalkan sebarang salah laku,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai MARA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas 25 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang bayaran balik pinjaman empat individu bernilai lebih RM15,000 sejak lima tahun lalu.

Berdasarkan laporan, polis menerima maklumat daripada pegawai atasan MARA berhubung keraguan pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan membabitkan empat skim di bawah agensi itu.

Siasatan mendapati mangsa diminta memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh dengan alasan memudahkan urusan tanpa perlu ke kaunter.

Kes tersebut terbongkar selepas tertuduh berpindah ke cawangan lain, sebelum mangsa menerima surat tunggakan bayaran balik pinjaman daripada MARA.

BBerkaitan

Latest articles