Manusia Tamak Tak Seperti Ular Sawa Berhenti Bila Kenyang – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir sikap sesetengah individu yang bersikap tamak dan tidak pernah berasa cukup.

“Ular sawa kalau kenyang, dia duk diam (berhenti) ..tapi manusia bila dapat kuasa, dia tamak RM1 juta pun tak cukup, nak RM1 bilion, beli rumah di Kuala Lumpur, New York, London pula,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah, Permatang Pauh, hari ini.

Menurut Anwar lagi, sikap manusia yang terlalu mengejar kuasa dan kemewahan sering melampaui batas.

“Jadi dalam Al-Quran tepat sekali bila menyebut bahawa manusia itu boleh naik as sanitaqwim atau as falasafilin kerana ular  sawa bila makan dia tahu mana nak berhenti, tomakninah dia berapa hari tetapi manusia tidak ada berhenti.

“Duit daripada mana? daripada harta orang yang nak belajar..nak bayar yuran ke sekolah pun susah, nak bayar bil sakit, makan pun susah..Sebab itu kita nak jadikan atau belajar MADANI seperti yang saya sebutkan iaitu perubahan yang sebaiknya,” katanya.

Sehubungan itu Anwar mengingatkan setiap pihak yang diberi kuasa untuk mengamalkan sikap amanah, kejujuran dan kesederhanaan, jauh sekali menyeleweng harta rakyat.

“Kalau kita diberi amanah, itu tanggungjawab, bukan lesen untuk ambil kesempatan. Kita jangan jadi tamak hingga hilang arah, hilang akhlak. Kekayaan sebenar bukan pada harta, tetapi pada integriti dan taqwa.

“Jangan lupa kuasa dan jawatan adalah sementara dan akhirnya manusia akan kembali kepada fitrah Allah untuk dipersoal tentang segala tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles