Kesilapan besar Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu adalah ia terlalu meluas, banyak dan sukar untuk dilaksanakan.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz juga memberitahu dirinya sendiri ‘boleh tertidur’ apabila membaca isi kandungan manifesto berkenaan.
“Saya beritahu kesilapan terbesar PH adalah adanya manifesto, terlalu banyak, tidak ada sesiapa boleh hadam. Kami dahulu tidak pernah ada manifesto besar-besar semasa saya dalam Barisan Nasional. Saya juga salah seorang dalam jawatankuasa, tidak ada gunanya (ia) terlalu terperinci.
“Ambil contoh dalam isu Covid-19, apa yang berlaku ini adalah di luar kawalan kita. Dalam erti kata lain, rangkakan perkara utama sahaja dan dalam tempoh itu kita perbaiki dan ubah. Tetapi anda (PH) lakukannya seperti Quran, kitab Injil, tidak boleh diubah. Jadi ia salah.
“Saya sendiri gelarkan ia sebagai ‘manifesto bodoh’ dan tidak perlu. Sebaliknya, datanglah dengan satu format untuk terus maju ke hadapan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh malam tadi.
Antara kandungan manifesto PH pada PRU14 yang lalu adalah menyediakan sejuta peluang pekerjaan, sejuta perumahan rumah mampu milik, pendidikan percuma di istitusi pengajian tinggi, membersihkan rasuah, had dua penggal bagi jawatan perdana menteri dan menteri besar dan menghapus rasuah.
Hannah terlebih dahulu meminta pandangan Rafidah berkenaan proses transisi yang perlu dilalui penjawat awam selepas pertukaran kerajaan daripada PH ke Perikatan Nasional (PN).
Dalam sesi yang sama, Rafidah bagaimanapun berkata tidak ada masalah untuk PH diberikan peluang sekali lagi untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan.