BUTTERWORTH: Lelaki yang menjadi sasaran dalam kejadian tembakan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Sungai Nyior, pada Selasa memiliki empat rekod jenayah lampau dan pernah terlibat dalam kegiatan geng kongsi gelap.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal melepaskan lima das tembakan ke arah kereta mangsa yang ketika itu sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah sekitar jam 5.40 petang.
“Bagaimanapun, mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Suspek kemudian melarikan diri sebaik melepaskan tembakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mohd Alwi, polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek selain menyiasat motif sebenar kejadian, termasuk kemungkinan berkait dengan latar belakang jenayah lampau mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menggugat ketenteraman awam.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Shuheri Abd Rani di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.