Mangsa Pemerdagangan Manusia Disuntik Hormon, Dilayan Seperti Binatang

BANGKOK: Tiga wanita warga Thailand lega dapat kembali menjalani kehidupan normal selepas menderita selama setengah tahun sebagai hamba ‘ladang’ telur manusia di Georgia.

Salah seorang mangsa mendedahkan seramai 100 wanita dijadikan hamba ‘ladang’ telur manusia dengan kesemua mereka diberi suntikan hormon.

Lebih menyedihkan mereka terpaksa mengikut peraturan kumpulan mafia berkenaan dan dilayan seperti binatang.

Wanita itu berkata, mereka ditahan dan ‘dibiakkan’ di Georgia, Eropah Timur oleh sebuah organisasi jenayah yang diketuai oleh penjenayah Cina, yang menjual telur mereka di pasaran gelap.

Wanita Thailand itu diselamatkan selepas terjebak dalam skim pengambilan telur manusia yang dikendalikan oleh mafia Cina di negara bekas republik Soviet, Georgia.

Usaha untuk membebaskan mereka dimulakan oleh pengasas Yayasan Pavena untuk Kanak-kanak dan Wanita, Pavena Hongsakula.

Pavena berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu daripada seorang lagi mangsa wanita yang dibebaskan dan kembali ke Thailand pada September tahun lalu hanya selepas membayar kira-kira 70,000 baht (RM9,168) kepada kumpulan berkenaan.

Pavena memberitahu masih ada warga Thailand lain yang masih terperangkap di ladang telur manusia kerana tidak mempunyai wang untuk membayar pembebasan mereka.

Polis Hal Ehwal Luar Negeri Thailand diketuai Surapan Thaiprasert bekerjasama dengan Interpol dan berjaya membantu tiga wanita lain kembali ke Thailand pada 30 Januari lalu.

Dalam pada itu mangsa menceritakan ‘mimpi ngeri’ itu bermula apabila dia melihat iklan pekerjaan di Facebook yang menjanjikan pendapatan antara 400,000 hingga 600,000 baht (kira-kira RM52,413 hingga RM78,623).

Tidak berfikir panjang, dia segera menghubungi nombor tertera dan diberitahu pekerjaan itu adalah menjadi ibu tumpang bagi pasangan yang tidak mempunyai anak di Georgia, dan ia sah di sana.

Majikan kemudian membayar permohonan pasport dan perbelanjaan perjalanan lain, kata wanita itu.

Dia dan kira-kira 10 mangsa lain pergi ke Georgia pada Ogos diketuai oleh seorang wanita Thailand yang dipercayai bekerja untuk kumpulan itu.

Setibanya di sana, mereka dibawa ke sebuah kawasan yang mempunyai empat rumah besar dan sekurang-kurangnya 100 wanita Thailand sudah tinggal di sana.

Tempat itu dikendalikan oleh gengster Cina dan ternyata tiada pasangan yang memohon untuk ibu tumpang di sana, katanya.

Sebaliknya, mereka diberikan suntikan hormon untuk merangsang ovari mereka.

Setiap bulan, wanita itu dibius dan telur mereka diambil, katanya yang menambah ada beberapa wanita tidak dibayar langsung.

Telur yang diambil dipercayai dijual dan diperdagangkan di negara lain untuk digunakan dalam prosedur persenyawaan in-vitro (IVF), kata Pavena.

Polis berkata, siasatan masih diteruskan dan mungkin akan ada lebih ramai diselamatkan.

Menurut rekod Yayasan Pavena, 257 orang Thailand menjadi mangsa penyeludupan manusia pada 2024, yang mana 53 ditemui di Thailand dan 204 di negara lain.

Yayasan itu sudah membantu menyelamatkan 152 orang daripada mereka.

Georgia tidak mempunyai undang-undang khusus mengenai ibu tumpang.

Bagaimanapun, syarikat yang beroperasi di sana mengiklankan perkhidmatan mereka dan pengaturan ibu tumpang dianggap sebagai kontrak yang sah.

Kerajaan Georgia menyatakan mereka sedang dalam proses untuk mengisytiharkan ia sebagai haram.

BBerkaitan

Latest articles