Mangsa Gangguan Seksual Melibatkan Lelaki Semakin Meningkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima sebanyak 1,486 kes aduan berkaitan gangguan seksual yang melibatkan mangsa lelaki melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan terhadap mangsa lelaki.

Aduan itu disalurkan terhadap PSSS sepanjang tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 411 kes (27.7%) melibatkan mangsa lelaki,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Pada 29 Okt lalu, beliau berkata PSSS menerima 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri Program Jerayawara sejak dilancarkan Mei lepas dengan 351 orang atau 28.9% merupakan golongan lelaki.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Husain Awang mengenai sejauh mana keberkesanan program jerayawara mampu mengelakkan gangguan seksual di rumah dan tempat kerja, Aiman Athirah berkata berdasarkan maklum balas 97.6% peserta program itu menunjukkan peningkatan terhadap tahap kesedaran dan pemahaman berkaitan gangguan seksual.

“Bagi memastikan gangguan seksual difahami dan meningkatkan kesedaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di 14 negeri melibatkan 19,423 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program advokasi diadakan bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan bagi pencegahan dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

“Sebanyak 54 program advokasi dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melibatkan 9,354 peserta.

“Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa melibatkan seramai 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles