Mangsa Disyaki Dibunuh Di Ampang Sebelum Mayat Ditanam Di Rembau

SEREMBAN: Polis mendedahkan wanita yang ditemukan maut minggu lalu dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Ampang, sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg dan ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Rembau.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Muhammad Idzam Jaafar, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat dicekik, selepas tercetus pertengkaran dengan suspek utama berusia 51 tahun di rumah mangsa.

Menurut beliau, pertengkaran berkenaan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Kes ini masih dalam siasatan dan beberapa aspek, termasuk hubungan mangsa dengan suspek, sedang diperhalusi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Muhammad Idzam turut memaklumkan sehingga kini mayat mangsa masih belum dituntut berikutan identitinya belum dapat dikenal pasti sepenuhnya, sementara keputusan ujian DNA masih belum diperoleh.

Terdahulu, pada Khamis lalu, polis menemui mayat seorang wanita yang dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga hari, selepas dijumpai tertanam di dalam beg di belakang sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4, Rembau.

Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 51 dan 41 tahun bagi membantu siasatan. Suspek utama kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BBerkaitan

Latest articles