TERENGGANU: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perumpamaan penduduk Kampung Tengkawang, Kuala Berang, di sini, setelah rumah mereka ditenggelami banjir.
Banjir yang berlaku kali ini diluar jangka apabila paras air naik mendadak sehingga penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.
Meskipun rumah mereka tidak dihanyut air banjir, barangan yang berada dalam rumah rosak hampir keseluruhan.
Penduduk, Salamah Kechil, 59, yang lebih mesra dipanggil mak menyifatkan kejadian kali ini luar biasa apabila kawasan rumah yang didiaminya tidak pernah ditenggelami banjir seteruk tahun ini.
“Hujan lebat, mak keluar tengok tiba-tiba air dah sampai paras tangga rumah, mak telefon ketua di kawasan sini. Mereka datang…mak naik Hilux ke pusat pemindahan banjir. Mak orang pertama duduk di pusat pemindahan bersama seorang anak dan cucu.
“Bila balik tengok keadaan rumah, rasa sangat sedih tengok barang rumah habis rosak.
“Mak fikir macam mana nak bersihkan rumah ni, kaki mak sakit kena serang beruk liar. Suami pun dah tiada sedih mak memikirkannya.
“Sedih, memang sedih mak fikir macam mana nak makan, nak beli makan minum cucu lagi, malam-malam mak susah tidur fikir siapa nak tolong mak disini,” luah Salamah yang juga ibu tunggal yang terpaksa menjaga cucunya selepas kematian anak perempuannya.
Seorang lagi mangsa banjir, Syarifah Hasnah, 58, turut meluahkan rasa sedih apabila melihat keadaan rumah pusaka ibunya dipenuhi lumpur setelah ditenggelami air banjir.
Katanya, apa yang lebih menyentuh hatinya apabila melihat Al-Quran peninggalan arwah ibunya yang rosak dan basah ditenggelami banjir yang turut mengingatkannya terhadap ibunya.
“Air naik sampai paras tingkap rumah…barang berselerak dalam rumah cuma lumpur penuh.
“Kalau mak saya masih hidup saya tak dapat bayang macam mana arwah nak terima keadaan rumah ini.
“Macam Al-Quran…dulu arwah mengajar mengaji, bila tengok Al-quran itu saya sangat sedih teringat pada arwah…bila tengok gambar-gambar dia memang sedih. Tak dapat saya bayangkan kalau arwah ni masih ada tengok keadaan rumahnya,” luahnya sambil menangis teringat akan arwah ibunya.
Kesedihan sama turut diluahkan, pasangan suami isteri yang mana suaminya yang mahu dikenali sebagai Pok Nik manakala isterinya Indon Sulaiman, 63, melihat keadaan rumah yang baru sahaja siap dibina ditenggelami banjir.
“Air surut saya balik, suami saya tengok kambing dulu. Tapi dah mati kedua-dua ekor kambing itu. Sedih Pok Nik.
“Tak sangka banjir pada 2014 yang teruk berulang kembali tahun ini. Tak mengapalah, kita redha apa yang berlaku,” katanya.