Manfaat Peranan Dewan Rakyat Untuk Lantik, Pecat Peguam Negara

Bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti kerajaan, maka peranan Dewan Rakyat perlu diangkat dalam soal pelantikan dan pemecatan Peguam Negara.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Azalina Othman Said berkata beliau pernah mengusulkan perkara ini ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), dimana gabungan itu pernah berjanji akan memisahkan peranan Peguam Negara dan tugas Pendakwa Raya.

“Perlu diingat bahawa jawatan Peguam Negara adalah produk sampingan dari Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu Peguam Negara bukan wakil eksekutif atau wakil kehakiman.

“Sebaliknya, jawatan Peguam Negara seharusnya dan harus bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Ahli Parlimen Pengerang itu merujuk kepada buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ‘My Story: Justice In Wilderness’ yang kini menjadi kontroversi dan perdebatan pelbagai pihak.

Azalina mengimbas isu yang dibawanya di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad  pada Jun 2018.

“Hansard (di Dewan Rakyat) bertarikh 24.10.2018 mencatatkan di mana saya meminta Perdana Menteri ke-7 di Parlimen ketika Kerajaan mahu mengemukakan RUU (Rang Undang-undang) untuk mengubah undang-undang ini untuk memisahkan kuasa PP (Pendakwa Raya) dari kuasa AG (Peguam Negara) bagi memastikan bahawa PP dapat menjalankan fungsinya dengan penuh tanggungjawab.

“Hansard yang sama mencatat bagaimana Ahli Parlimen Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) yang merupakan Wakil Menteri Undang-Undang pada masa itu, dengan terang-terangan membalas bahawa selain kenyataan bahawa tidak ada tarikh akhir yang ditetapkan ketika Kerajaan PH akan menunaikan janji itu (walaupun dengan kata-kata tegas “langkah segera”!), Pemerintah PH berdedikasi dalam melakukan penyelidikan komprehensif terlebih dahulu sebelum menunaikan janji itu,” katanya lagi.

Azalina juga berkata, apa yang dipertanggungjawabkan kepada Peguam Negara tidak membolehkan pelaksanaan semak dan imbang (check and balance) kepada institusi itu.

“Apa yang jelas dari pendedahan Tommy Thomas adalah bahawa peruntukan mengenai jawatan Peguam Negara dalam Perlembagaan tidak lain hanyalah struktur lama di era baru, apatah lagi dengan munculnya media sosial.

“Dalam konteks ‘kemungkinan bias nyata’, bagaimana orang yang dilantik atas nasihat PM sebagai AG menasihati Pemerintah dan secara serentak menggunakan kuasa untuk menuntut? Di mana semak dan imbang?,” ujarnya.

Dua hari lalu, polis memaklumkan telah membuka tiga kertas siasatan terhadpa Tommy selain menerima lebih 100 laporan polis berkaitan buku memoir berkenaan.

Ramai mengkritik tulisan Tommy kerana didakwa menyentuh beberapa perkara antara mendakwa Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak adalah dalang kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, pelantikan jawatan tertinggi kehakiman negara diputuskan Dr. Mahathir selain memperlekeh Jabatan Peguam Negara dan membangkitkan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

BBerkaitan

Latest articles