KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembubaran Parlimen yang diumumkan 10 Oktober lalu bertujuan mengembalikan mandat rakyat yang akan menjadi penawar ampuh bagi mewujudkan kestabilan politik di negara ini.
Malah tindakan itu diambil bagi mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kita memerlukan kerajaan yang harmoni dan bersatu hati bagi menghadapi cabaran ini. Saya yakin Keluarga Malaysia Melaka akan menggunakan hak untuk memilih kerajaan yang mampu mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan,” katanya dalam ucapan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, pelbagai cara dilakukan pembangkang untuk menidakkan usaha dilakukan kerajaan hari ini.
“Pembangkang mendakwa kononnya Malaysia bukan lagi destinasi pelaburan asing namun bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM47.4 bilion.
“Kerajaan juga sentiasa memantau kesan inflasi kepada harga barangan asas hingga berjaya mengawalnya ke tahap lebih rendah berbanding negara serantau,” katanya.
Perdana Menteri juga berkeyakinan ekonomi negara tahun ini mampu mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 6.5 peratus hingga 7 peratus dengan mengambilkira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 8.9 peratus.