KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa partinya tidak mengamalkan cara yang kasar, sebaliknya menggunakan pendekatan demokrasi aman sejak dahulu lagi.
Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada setiap pemimpin dan penceramah PAS yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga mencemarkan imej parti itu ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan ‘digam’ daripada berceramah.
“Kita pantau mereka kerana PAS ada dasar iaitu menerang bukan menyerang….itu konsep yang kita bawa.
“(Jadi apabila ada) mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan menyerang kita ‘gam’ (dan) hentikan daripada ceramah,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perikatan Nasional (PN) Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka, malam tadi.
Meskipun mengakui kenyataan ekstrem itu dikeluarkan kerana provokasi, namun Abdul Hadi mengingatkan mereka seharusnya tidak terikut dan perlu bijak menangkis soalan diberikan atau berhati-hati ketika membuat ceramah.
“(Kita) mengambil pendekatan damai (iaitu) menerang bukan menyerang,” katanya.
Peringatan Abdul Hadi menyusul selepas tular video kempen berdurasi 28 saat mengenai Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, yang mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 akan masuk neraka.
Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak menyebabkan Mohd Shahiful kemudian membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu.
Selain itu, klip video berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu turut tular di media sosial apabila pelakon filem remp-it, Zul Huzaimy mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih orang kafir harbi.
Pelakon itu kemudian membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam ceramah itu.