KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoalkan asas utama pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan mendakwa tiada sebarang bukti menunjukkan beliau pernah hadir ke bank tempat kesalahan itu dikatakan berlaku.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Najib, berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang lawatan, arahan atau pengaruh yang digunakan oleh anak guamnya di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, lokasi yang menjadi tumpuan dalam empat pertuduhan salah guna kuasa itu.
“Mana buktinya bahawa beliau pernah berada di AmIslamic Bank untuk menyalahgunakan kedudukan rasmi? Tiada satu pun dibentangkan,” katanya ketika menyampaikan hujahan akhir di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Menurut Wan Azwan Aiman, pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib bukan sahaja kabur, malah mengandungi pendua tersembunyi yang bercanggah dengan prinsip undang-undang.
“Pertuduhan pertama sahaja mengandungi lima tarikh, lima tindakan, empat lokasi dan tiga kapasiti rasmi yang digabungkan menjadi satu.
“Bagaimana sesuatu pertuduhan seperti ini boleh dianggap sah sedangkan ia jelas berganda dan mengelirukan?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap pertuduhan sepatutnya menjelaskan masa, tempat dan kesalahan yang spesifik bagi memastikan keadilan kepada tertuduh.
“Apa sebenarnya yang sedang dibicarakan di sini? Adakah pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib, atau perbicaraan terhadap dirinya sebagai individu?” soal beliau sinis.
Atas hujah tersebut, pasukan pembelaan meminta supaya mahkamah menggugurkan keempat-empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa terhadap Najib kerana dianggap tidak menepati kehendak undang-undang dan bercanggah dengan prinsip perbicaraan adil.
Prosiding akan disambung petang ini.
Najib, yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala kes pengubahan wang haram pula berlaku antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.