“Malu Masyarakat Melayu Sokong Perasuah”

KUALA LUMPUR: Pejuang hairan bagaimana begitu ramai masyarakat elayu terpedaya dengan penganjuran Himpunan Solidariti Bersama Najib bagi menyokong bekas Perdana Menteri itu mendapatkan kebenaran sebagai tahanan di rumah.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya menyokong apa jua usaha menyatukan masyarakat Melayu, namun bukan terhadap Najib yang didakwa telah merosakkan negara.

“Kami (Pejuang) mendukung serta menyokong penuh apa jua usaha menyatukan masyarakat Melayu. Dengan satu syarat sahaja niat di sebalik perpaduan itu mesti nyata.

“Bukankah dia (Najib) pemimpin Melayu yang menghancurkan imej masyarakat Melayu? Dia yang meleraikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga kalah dalam PRU 2018,” katanya menerusi platform podcast, ‘Suara Marhaen’.

Selain itu Mukhriz mendakwa himpunan yang dinamakan solidariti Najib itu tidak lain hanyalah untuk menggadaikan maruah dan martabat orang Melayu.

“Malu masyarakat Melayu dengan menyokong perasuah. Kalau tiada langsung integriti mana pergi kita,” katanya.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun, daripada 12 tahun selain denda dikurangkan kepada RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, susulan sabitan kes SRC International.

Hari ini Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan terhadap permohonan Najib terhadap titah addendum, iaitu berkaitan tahanan rumah seperti yang didakwa dipersetujui Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Himpunan Solidariti Bersama Najib merupakan anjuran UMNO yang kemudiannya digesa untuk dibatalkan selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Gesaan beliau menyusul kenyataan Istana Negara, mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

BBerkaitan

Latest articles