PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menyatakan sokongan dan membuat undian terhadap resolusi ‘Tindakan keganasan ke atas Ukraine’ dalam undian dijalankan malam tadi.
Dalam satu kenyataan Wisma Putra pagi ini berkata, meskipun tidak bersetuju sepenuhnya dengan kandungannya, Malaysia menyokong resolusi berkenaan selain menyatakan pendirian berprinsip negara yang menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta integriti wilayah sesebuah negara yang amat penting kepada Malaysia.
Resolusi berkenaan diterima pakai di Sesi Khas ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) pada 2 Mac waktu New York itu, mendapat sokongan sebanyak 141 undian berpihak, lima membantah dan 35 berkecuali.
“Dalam kenyataan menjelaskan undi negara, Malaysia mengulangi komitmen terhadap Piagam PBB, prinsip asas integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli mana-mana negara.
“Menggariskan hubungan kerjasama erat dengan kedua-dua negara, Russia dan Ukraine, Malaysia sedar situasi konflik ini adalah kompleks dan rumit berikutan keadaan geopolitik serta perbezaan dalam pelbagai aspek yang terus menjadi kebimbangan bagi kedua-dua negara,” katanya.
Kenyataan Wisma Putra itu turut menyebut bahawa Malaysia berpandangan supaya negara terbabit konflik perlu mencari jalan penyelesaian melalui dialog dan rundingan damai.
Katanya, Malaysia menyambut baik rundingan antara Russia dan Ukraine di Belarus dan berharap rundingan itu berjaya.
Pada masa sama, Wisma Putra berkata, Malaysia juga menggesa supaya Majlis Keselamatan PBB terus mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu dan melaksanakan peranan utamanya dalam memastikan keamanan dan keselamatan sejagat.
“Sebagai sebuah negara anggota PBB yang bertanggungjawab, Malaysia mengulangi komitmen berterusan negara terhadap penyelesaian secara damai.
“Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu demi mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta kemakmuran sejagat,” katanya.
Malaysia sebelum ini digesa Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia untuk mengundi dalam resolusi yang mengecam pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada sidang khas UNGA berlangsung 28 Februari hingga semalam.
Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague, dalam satu sidang media di Kuala Lumpur Selasa lalu dilaporkan berkata, Malaysia sebelum ini pernah mengundi menyokong resolusi UNGA berkaitan pencerobohan Russia ke atas Crimea pada 2014.
Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia perlu sekali lagi berperanan konstruktif dengan mengundi resolusi itu bagi mengecam tindakan Russia di Ukraine.
Konflik Russia-Ukraine memasuki fasa baharu sejak Khamis minggu lalu apabila negara bekas Kesatuan Soviet itu menyerang beberapa wilayah di Ukraine.