Malaysia, UAE Setuju Perkukuh Hubungan Pertahanan – Hishammuddin

Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara itu khususnya dalam konteks pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata kedua-dua negara juga sepakat bahawa prospek itu perlu diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi di Istana Qasr Al Shati, semalam.

Tambah Hishamuddin, kerjasama ini termasuklah dengan meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing.

Ujar beliau, pertemuan itu turut membincangkan keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur.

Ini katanya, bertepatan dengan penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang sudah lama ditubuhkan.

Dalam pada itu Hishamuddin berkata, beliau yakin perkara itu juga penting dalam usaha memahami bahawa keharmonian, toleransi dan perpaduan merupakan asas kejayaan sesebuah negara.

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju mengadakan kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara Malaysia.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menyampaikan jemputan kepada Mohammed Ahmed Al Bowardi untuk hadir ke Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) pada 23 hingga 27 Mei 2023.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,604FollowersFollow
20,300SubscribersSubscribe

Terkini