KUALA LUMPUR: Konsep ‘imuniti kelompok’ tidak lagi diteruskan selepas ini dimana negara akan memberi fokus kepada proses vaksinasi seluruh rakyat negara ini.
Perkara itu ditegaskan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini, dengan menambah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja adalah penting untuk negara menghentikan penularan virus tersebut.
“Kita jangan lagi melihat kepada imuniti kelompok, kita kena pastikan liputan seluas mungkin program vaksinasi sebab itu PICK Remaja sangat penting.
“Kita sedang melihat kepada data ujian klinikal yang dikeluarkan oleh Pfizer untuk vaksinasi kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
“Sebab tidak cukup untuk 80 hingga 90 peratus dewasa sahaja terima vaksin kerana kanak-kanak tidak divaksin,” katanya dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Khairy, pakar-pakar berkaitan COVID-19 sudah menghentikan penggunaan konsep ‘imuniti kelompok’ sejak penularan varian Delta.
“Apabila kita sudah mencapai 90 peratus dewasa, kurang lebih liputan bagi seluruh penduduk adalah lebih 60 peratus. Kita akan teruskan kepada PICK Remaja tetapi kita juga telah buat keputusan merentas negeri itu tidak akan meningkatkan kes, cuma perjumpaan beramai-ramai itu yang menyebabkan penularan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Malaysia mensasarkan 80 peratus rakyat atau 26,125,920 di negara ini akan lengkap divaksinasi menjelang 16 Disember ini.