Malaysia Tidak Iktiraf “Peta Standard China Edisi 2023”

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bertegas tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan, seperti yang digariskan dalam “Peta Standard China Edisi 2023” yang turut merangkumi kawasan maritim negara ini.

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri juga menekankan, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara ini di Sabah dan Sarawak berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979, termasuk persempadanan maritim.

“Malaysia berpandangan bahawa isu Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

“Isu ini perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog dan rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” katanya.

Kenyataan ini susulan tindakan China yang mengeluarkan “Peta Standard China Edisi 2023” yang meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.

Dalam masa yang sama, Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara menyeluruh dan efektif.

Malah, Malaysia juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin, kata kementerian itu.

BBerkaitan

Latest articles