Malaysia Tidak Akan Jadi ‘Tong Sampah Dunia’, Kata Menteri

Kerajaan bertekad untuk tidak menjadikan Malaysia sebagai ‘tong sampah dunia’ dengan mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk operasi penguatkuasaan dan pemantauan di pelabuhan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan itu diambil supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk meninggalkan sisa toksik dan buangan ke nagara ini.

“Kita mengambil serius isu ini. Kita tegaskan Malaysia tidak akan jadi tong sampah dunia dan akan bertindak tegas terhadap apa juga unsur yang cuba dibawa masuk kontena mengandungi sisa toksik atau yang tidak mematuhi peraturan seperti sisa plastik dan sebagainya.

“Kementerian ini diwujudkan pada Mac lalu, pada waktu awal penularan COVID-19 dan betul-betul pada waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kita mengesan dan menghantar pulang 13 kontena mengandungi sisa toksik dan 42 kontena berisi bahan plastik ke negara asal.

“Baru-baru ini saya sendiri turun ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) setelah kita mendapat maklumat ada 110 kontena transit ke PTP dan dalam pengurusan dihantar balik ke negara asal iaitu Romania,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Kementerian juga mengambil maklum beberapa kontena yang dibawa masuk ke beberapa pelabuhan seperti Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Kuching yang juga datang daripada benua Eropah dan Amerika.

“Antara negara yang kita hantar bahan dikenal pasti ini termasuk Amerika Syarikat (AS). Sebanyak 21 kontena dihantar kembali ke AS melalui Pelabuhan Kuching dan 15 kontena di Pelabuhan Pulau Pinang.

“United Kingdom ada satu kontena, Poland satu, Korea Selatan dua, Vietnam dua dan semuanya 41 kontena dengan berat keseluruhan 796,553 kilogram (kg).

“Ini yang kita ambil tindakan dan kita tegaskan Malaysia mesti bebas daripada elemen bercanggah dengan Konvensyen Basel yang telah kita tandatangani,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini