Malaysia Terima Sumbangan al-Quran, Kurma Dari Arab Saudi Sempena Ramadan
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menerima sumbangan naskhah al-Quran daripada Kerajaan Arab Saudi sempena Ramadan, meneruskan tradisi lebih dua dekad negara itu dalam menyantuni umat Islam di negara ini.
Sebanyak sembilan kotak al-Quran diserahkan, merangkumi tiga kategori iaitu bersaiz besar, standard dan versi terjemahan.
Turut disumbangkan ialah 10 kotak kurma untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada Program Hadiah Dua Penjaga Tanah Suci yang turut melibatkan penganjuran majlis berbuka puasa untuk kira-kira 2,800 penerima manfaat.
Majlis penyerahan berlangsung di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, dengan kehadiran Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Usamah Dakhil Al-Ahmadi.
Menurut Zulkifli, hubungan Malaysia dan Arab Saudi tidak hanya terikat pada hubungan diplomatik semata-mata, malah berakar umbi daripada nilai kepercayaan dan sejarah panjang yang dikongsi bersama.
Kerjasama erat dalam pengurusan haji dan umrah, promosi pendekatan wasatiyyah serta penyelarasan pandangan berkaitan isu ummah Islam terus memperkukuh hubungan dua hala tersebut.
“Alhamdulillah, pada tahun 2026 bersamaan 1447 Hijrah, Malaysia sekali lagi berbesar hati menerima sumbangan ini,” katanya.
Program berkenaan merupakan inisiatif rasmi di bawah tajaan Kerajaan Arab Saudi melalui Program Khadim al-Haramain al-Sharifain sebagai simbol komitmen dan persaudaraan antara kedua-dua negara.
Zulkifli menegaskan, program ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada masyarakat Islam tempatan, malah menjadi platform memperkukuh jaringan kerjasama institusi agama antara kedua-dua negara.
Tambah beliau, inisiatif tersebut turut meningkatkan imej Malaysia sebagai rakan strategik dunia Islam serta mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala berteraskan diplomasi berhemah dan nilai persaudaraan Islam.










