Malaysia Tegas Sokong Palestin, Kecam Israel Sebagai Projek Penjajahan – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyuarakan pendirian tegas Malaysia dalam isu Palestin, selain menyifatkan tindakan Israel sebagai satu bentuk “projek kolonisasi” ke atas negara berkenaan.

Dalam sidang media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan Palestin dan memberi amaran terhadap gerakan diplomatik yang gagal menangani punca utama konflik tersebut.

“Mengenai isu utama Gaza dan Palestin, kami akan terus berusaha. Namun, kami tidak sekadar mengikut arus. Anda boleh melihat sikap berkecuali serta pelbagai persoalan yang timbul. Bagi saya, ini adalah satu projek kolonisasi,” katanya.

Anwar turut mengkritik sikap masyarakat antarabangsa yang enggan mengambil tindakan tegas, sambil menegaskan bahawa rundingan tidak akan membuahkan hasil selagi Israel masih meneruskan penjajahannya.

“Berapa banyak lagi rundingan boleh dilakukan apabila penjajah masih enggan berundur?” soalnya.

Selain itu, Anwar menekankan bahawa isu Palestin bukan sekadar konflik politik semata-mata, tetapi melibatkan hak pemilikan asas rakyat Palestin yang dirampas secara sistematik.

“Ia bukan hanya bersifat politik… Ini soal tanah, rumah, dan harta benda. Ada dua perkara utama yang perlu diberi perhatian. Pertama, bantuan kemanusiaan segera. Namun, kita juga perlu berusaha ke arah penyelesaian jangka panjang yang adil,” tambahnya.

Malaysia terus menjadi penyokong lantang hak rakyat Palestin dan bekerjasama rapat dengan Turkiye serta rakan antarabangsa lain dalam menangani krisis ini.

Terdahulu, Erdogan menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Turkiye dan Malaysia dalam pelbagai bidang utama, termasuk peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan, dan kerjasama media.

Presiden Turkiye itu tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan rasmi dua hari atas undangan Anwar. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles