Malaysia Tegas Nyata Pendirian Dalam Cadangan Damai Gaza, Anwar Bentang Isu di Hadapan Majlis Raja-Raja

PETALING JAYA: Pendirian Malaysia terhadap pelan perdamaian Gaza yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) menjadi antara inti utama pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Majlis Raja-Raja hari ini.

Menurut Anwar, sesi bersama Majlis Raja-Raja itu turut merangkumi perbincangan mengenai beberapa dasar penting negara termasuk persiapan Belanjawan 2026 serta perkembangan semasa dalam dan luar negara.

“Mesyuarat dengan Majlis Raja-Raja hari ini memberi tumpuan kepada beberapa perkara termasuk perkembangan semasa, lawatan pemimpin dunia, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung Oktober ini serta lawatan Presiden AS, Donald Trump,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Bersedia Menghadapi Masa Hadapan, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan bahawa Perdana Menteri tidak dapat menghadiri sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi ini kerana menghadiri mesyuarat bersama Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Sementara itu, media antarabangsa sebelum ini melaporkan mengenai cadangan pelan damai Trump bagi menyelesaikan konflik di Gaza termasuk gencatan senjata, pembebasan semua tebusan Israel, penyerahan pentadbiran Gaza kepada pemimpin Palestin teknokrat dan pelucutan senjata Hamas.

Hamas dilaporkan menerima sebahagian besar cadangan tersebut secara prinsip dan bersedia meneruskan rundingan lanjut.

Sejak konflik Gaza meletus pada Oktober 2023, lebih 67,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, menjadikannya antara tragedi kemanusiaan paling buruk abad ini dengan situasi di wilayah berkenaan semakin meruncing dari hari ke hari.

BBerkaitan

Latest articles