Malaysia Tegas Menentang Kezaliman, Tidak Sekadar Jadi Penonton

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan pendiriannya untuk terus bersuara dan bertindak terhadap kezaliman serta ketidakadilan, termasuk dalam isu Palestin, dan tidak akan sekadar menjadi pemerhati dalam sejarah.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, dalam satu kenyataan menempelak pandangan segelintir pihak, termasuk seorang bekas menteri, yang berpendapat Malaysia seharusnya lebih mengutamakan kepentingan rakyat sendiri berbanding nasib rakyat Palestin yang jauh dari tanah air.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai bukan sahaja dangkal, tetapi juga mencerminkan kejahilan moral yang membimbangkan.

Menurutnya, perjuangan menentang kezaliman tidak boleh terbatas hanya kepada sempadan negara, sebagaimana Malaysia sebelum ini memainkan peranan penting dalam menentang sistem apartheid di Afrika Selatan dan membela rakyat Bosnia semasa pembantaian di Srebrenica.

“Jika kita hanya berjuang untuk keadilan dalam lingkungan sempadan negara sahaja, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman apartheid di Afrika Selatan dahulu atau menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia,” tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa Malaysia bukan sekadar bersolidariti dengan Bosnia, tetapi turut menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan, dan menyumbang secara signifikan dalam usaha membela rakyat yang tertindas.

“Jika ketika itu kita mampu bertindak dan mempunyai keprihatinan yang tinggi, mengapa sekarang kita perlu ‘menjaga tepi kain sendiri’ dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin?” soalnya.

Muhammad Kamil turut memetik kata-kata tokoh anti-apartheid dan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, yang menegaskan bahawa kebebasan dunia tidak akan lengkap selagi rakyat Palestin terus dizalimi.

“Jika seorang pejuang anti-apartheid seperti Mandela mampu memahami bahawa persoalan keadilan tidak mengenal sempadan, mengapa ada di kalangan kita yang lantang menentang usaha murni ini?” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa setiap bentuk penindasan yang tidak disanggah hanya akan memberi ruang kepada kezaliman yang lebih dahsyat, seperti yang dinyatakan oleh pemikir Palestin, Edward Said.

Muhammad Kamil turut menolak hujah bahawa Malaysia perlu mengutamakan rakyat sendiri terlebih dahulu sebelum membantu Palestin, dengan menyifatkannya sebagai satu alasan yang malas dan tidak berasas.

“Sejak bila menunjukkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita mengabaikan kepentingan rakyat sendiri? Adakah ihsan dan kepedulian kita terbatas hanya kepada rakyat Malaysia sahaja?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia telah lama menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan, dan akan terus berpegang kepada prinsip ini tanpa menghiraukan kritikan segelintir pihak.

“Kita tidak akan berhenti hanya kerana ada segelintir gerombolan yang berasa ‘terlalu jauh’ untuk peduli,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles