KUALA LUMPUR : Malaysia menawarkan kepada semua negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) untuk menyertai program di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tawaran Malaysia itu dinyatakan beliau ketika menyampaikan kenyataan pada pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri D-8 ke-21 di Kaherah, Mesir hari ini.
“Oleh kerana Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai tugasan rasmi lain pada tarikh sama, saya diminta oleh kerajaan untuk mewakili Malaysia menyampaikan kenyataan pada mesyuarat ini.
“Malaysia menawarkan kepada semua negara anggota D-8 untuk menyertai program di AKEPT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan platform latihan komprehensif melalui AKEPT kepada kumpulan ahli akademik, pemimpin pelajar, belia, profesional, usahawan pengurusan kanan dan pertengahan bagi membangunkan kapasiti kepimpinan, membina keupayaan, dan meningkatkan kemahiran pengurusan.
Seiring Sidang Kemuncak ke-11 D-8, bertemakan ‘Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy’, Zambry berkata, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan memperkasakan belia.
“Malaysia menyokong penuh Deklarasi Kaherah yang mengangkat tema ini untuk dibincangkan mengenai hala tuju serta perancangan Kumpulan D-8 untuk golongan belia,” katanya.
Malaysia juga kata beliau berbesar hati untuk mengalu-alukan Republik Azerbaijan sebagai ahli terbaharu dalam Pertubuhan D-8.
“Kami percaya penyertaan Republik Azerbaijan dalam D-8 akan memperkasakan kerjasama ekonomi dan perdagangan,” katanya.
Pada Sidang Kemuncak D-8 kali ini juga katanya, Mesir turut menganjurkan Sesi Khas mengenai Situasi di Palestin dan Lubnan.
“Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap penerimaan bersama untuk menyelesaikan situasi genting di Palestin, Lubnan, dan negara-negara jiran yang terkait.
“Hari seterusnya nanti, saya akan memberi kenyataan negara di Sidang Kemuncak ke-11 D-8, serta kenyataan negara dalam sidang khas mengenai situasi di Palestin dan Lubnan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam kesempatan lawatan kerjanya ke Mesir, beliau sempat mengadakan mesyuarat dua hala bersama dengan Menteri Luar Iran; Setiausaha Agung Kumpulan Negara D-8; Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh; Menteri Luar Pakistan dan Menteri Luar Mesir.
“Kesemuanya menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang,” katanya.
D-8 yang ditubuhkan di Istanbul, Turki pada 15 Jun 1997 adalah sebuah kumpulan negara Islam membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi yang terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.