Malaysia sokong segala usaha hentikan kekejaman ke atas Palestin – Mohamad

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan pendirian Malaysia bahawa pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Palestin mestilah dihentikan sekarang.

Beliau berkata, walau apa sekalipun usaha dan penyelesaian sedang dirangka, keutamaan kini adalah untuk menghentikan segala bentuk pembunuhan beramai-ramai, khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak di Gaza.

“Kekejaman ini mesti diberhentikan sekurang-kurangnya pembunuhan diberhentikan. Lepas tu macam mana nak cerita kita cerita.

“Namun apa yang berlaku bukanlah (pembunuhan) diberhentikan, tetapi makin hari makin dibunuh,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad lagi, Malaysia menyokong resolusi yang digubal Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong rancangan gencatan senjata di Gaza.

“Alhamdulillah baru-baru ini, pada Jun satu cadangan gencatan senjata yang diusul Amerika telah diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan undi (14 menyokong, satu berkecuali). Kita amat gembira sebab selalunya bila Amerika buat usul, yang lain tidak menyokong.

“Kita nak lihat apa cara untuk kita pastikan kekejaman, pembunuhan dihentikan, (kita suarakan ini) di atas apa juga platform, kita akan terus menyokong apa juga usaha termasuk melalui penyelesaian dua negara,” katanya

Resolusi yang digubal baru-baru ini mempunyai tiga fasa yang akan berakhir dengan rancangan pembinaan semula Gaza dalam jangka masa panjang berikutan kemusnahan akibat pertempuran.

Fasa pertama termasuk gencatan senjata penuh dan lengkap yang berlangsung selama enam minggu, dengan tentera Israel berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza.

Tentera Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza di bawah fasa kedua rancangan itu, yang berlangsung sekitar enam minggu lagi.

Manakala bagi fasa ketiga, pelan pembinaan semula dan penstabilan utama untuk Gaza akan bermula, disokong oleh AS dan masyarakat antarabangsa.

Tambah Mohamad, AS perlu memastikan usul yang telah diluluskan baru-baru ini akan dilaksanakan.

Mengulas lanjut beliau berkata tindakan selanjutnya termasuklah pilihan raya di Palestin, ia merupakan perkara yang boleh ditentukan selepas pembunuhan kejam dihentikan.

“Memang benar hak rakyat Pasletin perlu kita dengar apa yang penting sekarang adalah pembunuhan dihentikan dahulu, kalau ada satu pihak membunuh, membedil (ini tidak akan selesai).

“Soal rakyat Palestin buat pilihan raya.. Yang penting pembunuhan dihentikan kerana sekarang ini setiap hari orang dibunuh. AS mesti bertnggungjawab penuh. Selepas itu nak buat pilihan raya terpulang selepas itu, (untuk) kita iktiraf pihak mana yang akan mengurus negara Palestin yang merdeka (itu) selepas itu,” katanya

BBerkaitan

Latest articles