KUALA LUMPUR: Teknologi dan digitalisasi semakin penting hari ini kerana ia merangkumi keseluruhan aspek kehidupan, baik dari segi kesihatan, pendidikan, ekonomi, dan masa depan. Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif kemajuan teknologi.
Belanjawan 2025 seperti yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu, menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam memperkukuh bidang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, sekaligus membawa harapan supaya Malaysia dapat diangkat sebagai hab digital utama di Asia Tenggara.
Peruntukan khusus sebanyak RM10 juta kepada Pejabat AI Kebangsaan dan RM50 juta untuk pendidikan AI menunjukkan langkah kukuh ke arah membina kepakaran tempatan dalam teknologi AI. Bahkan, inisiatif ini juga memperkasakan sokongan kepada universiti tempatan untuk menerajui pembangunan teknologi, seperti projek Model Bahasa Melayu (LLM-BM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengangkat bahasa Melayu dalam teknologi bahasa berasaskan AI.
Sementara Universiti Malaya (UM) menumpukan AI dalam bidang perubatan bagi menangkis penyakit maut seperti kanser; Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber yang rumit.
Begitu juga Universiti Sains Malaysia (USM) memberi tumpuan kepada AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, Ini merupakan satu langkah terbaik dan penting jika kerajaan mahu pulangan yang menguntungkan pada masa hadapan.
Dan YTL mahu mengambil peluang ini untuk memajukan bidang AI di Malaysia untuk anak bangsa, supaya kita punya kepakaran sendiri setanding negara luar,”
Umum mengetahui YTL Corporation Berhad, salah sebuah syarikat konglomerat terbesar di negara ini, memainkan peranan penting dalam pembangunan bidang AI, di mana mereka telah bekerjasama dengan NVIDIA untuk membina infrastruktur AI yang akan membawa superkomputer terpantas ke Malaysia menjelang pertengahan tahun 2024.
“Malah YTL juga terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasakan teknologi AI di dalam negara. Bahkan kini kami bersama UM membangunkan projek Model Bahasa Melayu, selain memperluaskan lagi model AI di Malaysia yang merangkumi budaya dan sensitiviti yang tersendiri,” ujar Chee Mun lagi.
Cabaran Dalam Kemajuan AI
Semua pihak perlu mengambil manfaat terhadap kemajuan bidang teknologi, khususnya AI yang kini diaplikasi secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan. Namun, pada masa yang sama, kita harus faham bahawa kemajuan ini bukanlah pengganti kepada tenaga kerja manusia seperti yang diperkatakan ketika ini.
Tegas Chee Mun, kepakaran manusia dan kepesatan teknologi harus seiring dan saling bergandingan. “Contoh termudah yang kita boleh gunakan adalah perkhidmatan kerajaan. Apabila teknologi AI dibawa masuk, ia bukan bermaksud hendak membuang kakitangan. Sebaliknya, inilah cara untuk kita memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.”
“Ia mungkin memberi kesan kepada beberapa bidang, itu kita akui. Namun hanyalah sebilangan kecil, terutama kepada bidang yang kurang kompetitif seperti perakaunan, pemasaran dan jualan.
Paling penting adalah untuk semua pihak tidak menyalahgunakan teknologi AI kepada perkara yang tidak bermanfaat. Sebagaimana penggunaan Internet yang boleh membabitkan penipuan dan salah guna maklumat, bidang AI juga boleh menjurus ke arah itu.
Maka, dalam masa kita menikmati kemajuan, kerajaan perlu mencari jalan untuk mengetatkan lagi undang-undang khususnya penggunaan teknologi AI dalam kalangan penggiat dan rakyat secara amnya,” ujar Chee Mun.
Menyokong Ekosistem Permulaan dan Usahawan Tempatan
Dalam pada itu, Chee Mun menambah bahawa komitmen Malaysia terhadap ekosistem syarikat permulaan mencerminkan langkah penting dalam menggalakkan budaya inovasi dan penyelesaian masalah. Syarikat permulaan, yang lebih bebas daripada kekangan birokrasi, mempunyai kelenturan untuk menangani isu-isu masyarakat dengan kreatif. Dengan menyokong usahawan tempatan, Malaysia boleh membina asas ekonomi yang kukuh dan inovatif.
Tambahan pula, penekanan dalam bajet ini kepada produk dan perkhidmatan tempatan berbanding pilihan antarabangsa akan mewujudkan suasana yang subur untuk ‘jaguh kampung’ di mana syarikat tempatan berpotensi mengharumkan nama Malaysia di peringkat global.
Katanya, untuk mengubah Malaysia daripada pengguna kepada pembangun AI, adalah penting untuk membina ekosistem AI tempatan yang kukuh. Dengan mengikuti contoh kekuatan rantaian bekalan China, Malaysia perlu memiliki ekosistem AI yang penuh dengan syarikat teknologi tempatan dan industri sokongan.
Ekosistem ini bukan sahaja membolehkan Malaysia mencipta penyelesaian AI untuk keperluan sendiri, malah berpotensi untuk mengeksport teknologi ini secara global. Pendekatan ini mengukuhkan industri teknologi tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi serantau, menarik kerjasama dan projek dari syarikat antarabangsa.
Untuk rekod, Malaysia kini telah meraih pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion (AS$1 = RM4.30) daripada syarikat gergasi teknologi dunia termasuk Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle.
Malaysia Menjadi Tumpuan Syarikat Pelaburan Digital
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil, kejayaan Malaysia yang menerima banyak pelabur ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Pelaburan ini akan menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan untuk rakyat manakala inisiatif peningkatan kemahiran dan penubuhan pusat kecemerlangan akan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam landskap digital di Asia Tenggara,” kata beliau.
Malah, Anuar juga menyifatkan Belanjawan 2025 baru-baru ini sebagai tepat pada waktunya dan selaras dengan persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN 2025. Lebih penting, Kerajaan Madani sebenarnya telah meletakkan Malaysia dalam pertumbuhan ekonomi yang tepat dan pesat, malah sejajar dengan peningkatan kualiti hidup rakyatnya.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan Belanjawan 2025 terhadap pemerkasaan bidang AI telah menyediakan Malaysia ke arah ekosistem digital yang stabil. “Dengan sokongan insentif serta inisiatif penyelidikan dan pembangunan, banyak syarikat boleh meningkatkan kelebihan daya saing, operasi berskala serta memacu transformasi digital Malaysia.”
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital Corporation, Adrian Marcellus, beliau juga percaya Malaysia mempunyai standard pembangunan AI secara beretika, dijamin selamat dan kurang risiko.
Adalah penting untuk setiap rakyat Malaysia meraikan komitmen kerajaan memperkasakan bidang AI demi masa hadapan generasi akan datang. Menyokong bidang AI bukan sekadar terhad kepada sesi pembelajaran atau penyelidikan tetapi bagaimana kita hendak memastikan teknologi ini berkembang dengan cara yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Bahkan tidak mustahil untuk kita katakan bahawa Malaysia akan maju dan mampu berdaya saing menyediakan kepakaran AI sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.