Malaysia Sedia Hantar Satu Batalion ATM Ke Gaza, Tunggu Lampu Hijau PBB

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sekali lagi mengulangi Malaysia bersedia menghantar satu batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Gaza sekiranya dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjalankan misi pengaman di wilayah bergolak itu.

Beliau berkata satu batalion ATM telah didaftarkan lebih awal bagi tujuan itu dan Malaysia kini menunggu keputusan Majlis Keselamatan PBB berhubung penghantaran pasukan pengaman ke Gaza.

“Semasa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang ada pasukan pengaman, kita telah nyatakan kesediaan dan memang kita niat pun nak berada, nak bantu di sana.

“… tetapi kita tunggu pertemuan Majlis Keselamatan PBB untuk buat keputusan. Kalau mereka kata Malaysia dipilih untuk menghantar, kita bersedia dengan satu batalion,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Transformasi Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) 2026-2035 hari ini.

Mohamed Khaled berkata batalion yang disediakan itu tidak melibatkan kontinjen Malaysia yang sedang berkhidmat di Lubnan ketika ini.

“Itu (kontinjen Lubnan) setiap satu tahun kita memang panggil balik dan hantar yang lain. Jadi kita ada batalion lain yang bersedia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata soal kos untuk menghantar pasukan ATM menyertai misi pengaman itu tidak menjadi keutamaan pada masa ini, kerana perkara yang lebih penting adalah hasrat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang sedang menderita akibat konflik berpanjangan.

Mohamaed Khaled berkata Malaysia sentiasa berpegang teguh terhadap prinsip kemanusiaan sejagat yang menjadi dasar utama negara dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles