SEPANG: Malaysia sedang bersiap sedia untuk melancarkan konvoi bantuan darat besar-besaran ke Gaza sebaik sahaja koridor kemanusiaan Rafah dibuka, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.
Beliau berkata, persiapan itu dibuat dengan dokongan penuh kerajaan Malaysia, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Ini mesej khas kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perjuangan Palestin. Misi Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) menjadi saksi kepada kebangkitan kesatuan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sani menegaskan, Malaysia mempunyai cara dan pendekatan tersendiri dalam usaha membebaskan Palestin daripada penjajahan rejim Zionis.
Menurut beliau, SNCC menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu dalam doa dan solidariti, termasuk melaksanakan solat hajat serta Qunut Nazilah agar perang di Gaza segera berakhir.
“Kita juga mendoakan agar semua baki delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) yang masih dalam tahanan rejim Zionis segera dibebaskan,” ujarnya.
SNCC turut mengesahkan bahawa semua 23 delegasi Malaysia yang ditahan sebelum ini telah dilepaskan dan diterbangkan keluar dari Israel pada jam 6.40 petang waktu Malaysia menggunakan pesawat Turkish Airlines hasil urus tadbir diplomatik serta tajaan penuh kerajaan Türkiye.
Setibanya di Lapangan Terbang Istanbul pada jam 8.40 malam, kesemua sukarelawan disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra, dan kerajaan Türkiye.
Delegasi terbabit kini ditempatkan di Istanbul untuk bermalam sebelum dijangka pulang ke tanah air pada Selasa atau Rabu ini.
Sani turut merakamkan penghargaan mendalam kepada Perdana Menteri, kerajaan Malaysia serta pihak Türkiye atas peranan besar mereka dalam rundingan antarabangsa bagi memastikan pembebasan 23 rakyat Malaysia.
“Kami amat terharu dan berterima kasih atas kepimpinan dan keprihatinan kerajaan Malaysia yang tidak pernah berputus asa memperjuangkan pembebasan rakyat kita,” katanya.
Setakat ini, 137 daripada 462 peserta flotila dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia telah dibebaskan dengan bantuan diplomatik kerajaan Turkiye.